Ketiga-tiga kesaksian ini diberikan oleh Dikbang Watchman Nee semasa perhimpunan rakan sekerja yang diadakan di Kulangsu, sebuah pulau yang terletak di tenggara wilayah Fukien, China, Pada Oktober 1936. Setahu saya, inilah satu-satunya masa dalam hidupnya dia berbicara dengan begitu terperinci tentang hal-hal peribadinya. Jarang-jarang dia menceritakan pengalaman rohani sendiri, mungkin disebabkan dia tidak mengingini orang menilainya melebihi apa yang dilihat padanya atau yang didengar daripadanya (2 Kor. 12:6). Kesaksian yang diberikan oleh Paulus dalam 2 Korintus Bab 12 tidak didedahkan sehinggalah empat belas tahun kemudian. Sebelum ini, saya sering terfikir hendak menerbitkan tiga kesaksian ini. Akan tetapi, bersesuaian dengan hasrat dikbang Nee, saya telah menangguhkannya sehingga kini. Selepas dia meninggal dunia di negeri China pada 30 Mei 1972, Barulah saya membuat keputusan untuk menjadikan kesaksian ini diketahui umum. Saya percaya bahawa masa ini masa yang sesuai. Saya berharap agar pembaca sekalian tidak akan memberi perhatian kepada peribadi dikbang Watchman Nee, sebaliknya meneliti kerja yang dilakukan Tuan padanya, dan sikapnya yang begitu rela untuk membenarkan Tuan melakukan kerja padanya. Dengan demikian, kemuliaan Tuan dapat diekspresikan menerusinya.